Saturday, May 31, 2008

Usah kongkong pelajar berpolitik

Pertubuhan perwakilan pelajar universiti berharap pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak disertai peraturan baru yang mengongkong khususnya membabitkan hak pelajar berpolitik.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Zaid Mohd Idrus, berkata disamping hasrat kerajaan mahu melihat mahasiswa yang lebih berketrampilan dan cemerlang dalam akademik, hak pelajar berpolitik tidak boleh disekat.

"Kami menyambut baik hasrat kerajaan untuk meminda AUKU, tetapi isu yang menjadi perdebatan ketika ini ialah mengenai pembabitan pelajar dalam politik dan ini tidak seharusnya dijadikan teras pindaan.

"Bila kita memperkatakan hal berpolitik, ia hak semua rakyat lebih-lebih lagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, yang memberi jaminan pindaan kepada AUKU tidak akan mengongkong pembabitan pelajar dalam kegiatan yang membina dan konstruktif.

Mohd Zaid berkata, kehidupan mahasiswa seharusnya tidak terhad hanya kepada dewan kuliah, bilik tutorial dan perpustakaan, sebaliknya membabitkan seluruh kehidupan universiti dan masyarakat, termasuk kokurikulum, kebajikan dan politik kampus.

Pembabitan seumpamanya mampu untuk mematangkan kepemimpinan mahasiswa dan membuka minda mereka untuk memandang kepada dunia luar sebagai penilaian mengenai apa yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, berkata pembabitan pelajar dalam politik tidak dapat dielakkan.

"Dalam akhbar yang kami baca setiap hari pun begitu banyak mengetengahkan mengenai politik, justeru apa yang berlaku sekurang-kurangnya membuatkan kami mahu mengambil tahu mengenai perkembangan semasa dan tidak terlalu terkongkong dengan tanggungjawab sebagai pelajar.

"Malah bukan isu politik saja yang menjadi minat pelajar, sebaliknya pelbagai isu semasa dalam negara dan global, yang juga tidak dapat lari daripada perkembangan politik semasa," katanya dengan keyakinan pindaan itu akan 'membebaskan' pelajar universiti, bukan untuk jalan salah, sebaliknya bebas untuk membina kecemerlangan diri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Mohd Hilmi Ramli, berkata perbincangan mengenai AUKU lebih kepada isu yang mengikat pelajar daripada isu berkaitan politik.

"Akta yang terhad akan membantutkan minda pelajar untuk melahirkan pendapat dan berhujah sedangkan ini adalah sebahagian kemahiran ini yang perlu dijana dalam diri seorang pelajar cemerlang," katanya.

Saranan PKIM kaji semula pakaian sekolah agak simplistik - Jim

Jamaah Islah Malaysia (JIM) menyifatkan saranan supaya kerajaan menilai semula baju kurung sekolah berwarna putih sebenarnya agak simplistik dan kurang efektif serta praktikal untuk menangani permasalahan sosial yang semakin meruncing.

Perkara itu ditegaskan Ketua Wanita Pusat JIM Prof. Madya Dr Harlina Halizah Siraj dalam sidang medianya di ibu pejabat JIM, Taman Melawati semalam.

Merujuk saranan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKIM) itu, Harlina berharap cadangan itu tidak menggambarkan tanggapan bahawa wanita adalah semata-mata objek seksual dan bertanggung jawab sepenuhnya menjaga moral masyarakat.

Bagaimanapun, tegas beliau, golongan pelajar perempuan yang didapati berpakaian secara kurang sopan mestilah dididik dan dinasihati ibu bapa, golongan dewasa serta guru melalui pendekatan berhemah dan efektif.

"Agar remaja ini menyedari akan tanggung jawab mereka menghormati tubuh badan sendiri di samping bijak membuat pilihan yang baik untuk kepentingan diri dan kebaikan orang lain," katanya.

Beliau menegaskan, proses pendidikan itu haruslah merangkumi pelajar lelaki yang perlu didedahkan kepada sikap tanggung jawab yang tinggi seperti saling hormat menghormati dalam hubungan silang jantina.

Tegasnya, kawalan yang lebih efektif mestilah dikenakan terhadap unsur-unsur lucah yang dipaparkan dalam media elektronik, media cetak dan internet yang sememangnya mempunyai kesan negatif terhadap minda muda remaja.

"Kita tidak mahu kenyataan yang dikeluarkan hanya membabitkan perempuan sahaja, kerana kita tahu unsur-unsur lucah dari media cetak dan elektronik memberi impak kepada golongan muda termasuk lelaki," katanya.

Dalam pada itu, JIM turut merakamkan rasa bimbang terhadap penglibatan remaja lelaki dan perempuan di Malaysia dengan gaya hidup hedonisme yang keterlaluan menyembah kewangan, keseronokan, pergaulan bebas, tingkah laku seksual tanpa batas dan ketagihan arak dan dadah.

Justeru katanya, pemerintah harus memberi keutamaan kepada penyelesaian terhadap keruntuhan moral dan akhlak remaja hari ini yang berpunca dari hakisan pegangan hidup beragama dan kemerosotan nilai moral.

"Ingatlah pepatah Melayu 'Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara', janganlah hendaknya Malaysia 'runtuh' disebabkan golongan muda yang tidak mampu menjadi harapan dan tiang seri bagi pembangunan pada masa hadapan," katanya

Tuesday, May 27, 2008

Pelajar wajib sertai pasukan beruniform

Kementerian Pelajaran berhasrat mewajibkan semua pelajar menyertai pasukan badan beruniform di sekolah kerana ia boleh mendidik mereka lebih berdisiplin serta menjadi pemimpin atau pengikut yang baik pada masa depan.

Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir, berkata apabila semua pelajar menjadi ahli badan beruniform, mereka akan dibentuk melalui latihan kawad dan ujian kecergasan selain ada kenaikan pangkat dan anugerah bintang yang perlu direbut sekali gus mewujudkan persaingan sihat sesama mereka.

Katanya, pendedahan dan latihan itu membimbing pelajar menjadi pemimpin atau pengikut berdisiplin, yang boleh diserapkan dalam budaya hidup seharian sekali gus menjadi lebih fokus terhadap aktiviti di sekolah dan tidak membuang masa di luar waktu persekolahan.

Tanpa menyatakan bila cadangan itu akan dikuatkuasakan, beliau berkata, cadangan itu juga harus dipatuhi pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan berikutan keputusan kerajaan menyediakan uniform percuma kepada mereka, mulai tahun ini.

"Sebelum ini, pelajar susah sikit untuk menyertai pasukan beruniform kerana masalah pakaian. Sekarang sudah ada peruntukan, oleh itu, tiada alasan lagi untuk mereka tidak menyertainya," katanya selepas mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Perak, di sini, semalam.

"Justeru, sekolah juga perlu menyediakan unit beruniform yang mencukupi untuk disertai murid mereka," katanya.

Uniform Sekolah Seksi???

PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada cadangan awal untuk menilai pakaian pelajar perempuan di sekolah yang perlu dinilai semula.

Masyarakat perlu mengetahui dan melihat bahawa cadangan ini dibuat hanya kepada pelajar perempuan Islam sahaja. Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini adalah berteraskan kepada lima asas yang utama.

Pertamanya, isu ini bukan mahu menyalahkan pelajar perempuan, akan tetapi ia sebagai salah satu kaedah pencegahan (sad zarai?ik) di dalam Islam supaya pelajar perempuan tidak terdedah kepada ancaman luar dan masalah sosial akibat daripada pemakaian yang terlalu jarang.
Langkah pencegahan ini sangat penting supaya mereka bebas daripada ancaman persekitaran mereka.

Keduanya, cadangan penukaran pakaian berwarna ini ditujukan kepada pelajar Islam, supaya cara pemakaian pelajar Islam selarii dengan Syariah dan tuntutan Islam itu sendiri.
Dalam Islam, baju kurung sahaja tidak lengkap jika masih menayangkan tubuh badan. Pemakaian baju kurung kepada pelajar bukan Islam bukanlah satu paksaan kepada mereka, akan tetapi mereka yang berminat memakai baju kurung berwarna sangat digalakkan.
Asas yang ketiga ialah, ramai guru turut mengeluh sebenarnya kerana pemakaian pelajar perempuan yang terlalu jarang menyebabkan tumpuan guru terganggu. Ini akan menyebabkan keadaan yang tidak selesa kepada guru-guru tersebut.

Keempat, peranan ibu bapa sangat penting dalam urusan persekolahan pelajar di mana ibu bapa juga berperanan memilih pemakaian yang sesuai untuk anak-anak mereka.
Asas yang terakhir ialah PKPIM tidak menuduh persepsi lelaki Malaysia semua sebagai mata keranjang akan tetapi secara fitrahnya mata lelaki akan mudah teransang dengan pemakaian yang seksi atau yang tidak menutup aurat. Apatah lagi yang melihatnya nanti guru- guru yang bertanggungjawab mendidik mereka.

PKPIM berpandangan bahawa pakaian awam ini merupakan salah satu faktor daripada banyak faktor-faktor lain yang menyumbang kepada jenayah seksual.
Tidak semua mereka yang berpakaian tidak menutup aurat atau terdedah itu semestinya menjadi mangsa, akan tetapi merupakan salah satu daripada faktor menyumbang kepada masalah gangguan seksual.

Selain itu juga, pakaian yang terdedah itu turut menimbulkan rangsangan kepada lelaki-lelaki di persekitarannya.

Sebenarnya, penjenayah itu dapat melihat dan teransang daripada orang yang tidak memakai tudung berbanding mereka yang bertudung atau menutup aurat. PKPIM juga tidak menafikan bahawa mangsa jenayah seksual ada terdiri daripada mereka yang bertudung dan menutup aurat, di mana penjenayah tidak mengenal mangsanya.

Tetapi hakikatnya, penjenayah seksual ini telah didedahkan dengan faktor-faktor seperti imej lucah, imej tidak menutup aurat di media, internet, vcd lucah dan sebagainya.
PKPIM bertegas bahawa imej-imej lucah, pendedahan aurat, etika berpakaian ini merupakan antara salah satu faktor menyumbang kepada masalah ini.

PKPIM mengharapkan Kementerian Pelajaran dapat mempertimbangkan cadangan ini dan dinilai kembali kerana ia sangat penting kepada semua. Semoga usaha ini mendapat sokongan daripada pihak luar.


Munirah bt Bahari
Naib Presiden HEWI, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)