Monday, March 30, 2009

Aktiviti khas belia di Dataran Stadium setiap Jumaat, Sabtu

Kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) akan menganjur aktiviti khusus untuk golongan belia di negeri ini pada setiap hari Jumaat dan Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Perlancongan negeri, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, antara program yang akan dianjurkan termasuk untuk persatuan bermotor.

"Program khas disusun bagi faedah golongan belia. Dan program lain yang sesuai sedang disusun dan dikenal pasti," katanya pada perasmian program Belia Cakna Palestin 'Derita Sama Dirasai' di Dataran Stadium Sultan Muhamad Ke-IV kelmarin.

Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya sudut khas akan disediakan kepada persatuan bermotor bagi membolehkan mereka melaksanakan program lebih berfaedah dan mengelakkan terbabit dengan perlumbaan haram.

Takiyuddin berkata, penyertaan kelab-kelab bermotor pada program berkenaan, menunjukan bahawa remaja di negeri ini mempunyai sikap bertanggungjawab dan cakna kepada keperitan yang dialami umat Islam di Palestin.

Sebanyak 12 buah kelab motor berdaftar menyertai program berkenaan termasuk Super Power Club, Kelab Honda Klasik, Kelab Iswara Kelantan.

Selain itu Perdana Club Malaysia, iSaga Motorsport, KB4G, Kelab Produa Viva Kelantan, THR Gegar, Belia 4B Kubang Kerian, Kelab Rakan Pendengar dan Kelab Berkuda MPKB-BRI.

Katanya juga kawasan Dataran Stadium akan dibahagikan kepada beberapa sudut termasuk menyediakan pentas khas yang akan dijadikan sudut pidato bagi membolehkan belia meluahkan pendapat.

Pada program berkenaan wakil-wakil dari persatuan bermotor menyampaikan derma kepada Tabung Cakna Palestin.

Dan lebih menarik seorang ahli persatuan bermotor menjadi imam solat Asar, manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan tetamu lain menjadi makmum.

Nota kepada mahasiswa

Saudara-saudari yang dirahmati.. perhatikan tiga kalimat ini.. Keberanian, Kejujuran, dan Kebijaksanaan. Jika gabungan ketiga-tiga kalimat dan ungkapan ini akan selalu hidup bernafas dan menyala dalam hati sanubari kita, ia tentulah dapat mengembang keyakinan untuk terus hidup bernyawa dengan merdeka dalam memperjuang demokrasi universiti.

Sejak sekian lama, hidup kita diburu ketakutan. Masalahnya sekarang, bukanlah tiada orang yang cerdik dan bijaksana antara kita. Tapi, kebijaksanaan itu tidak didokongi oleh keberanian. Kalau ada kebijaksanaan yang didokongi keberanian, maka sifar kejujuran itu atau penyakit sifar keikhlasan itu akan membunuh perjuangan itu sendiri.

Oleh itu, berwaspadalah agar sentiasa wujud dalam diri kita nilai-nilai seperti ini. Sesiapa sahaja yang memiliki ketiga-tiga nilai seperti ini, maka dia tidak mudah ditipu, disesatkan oleh sesiapa, insya Allah. Isu selanjutnya yang harus dibicarakan selepas ini ialah..

Bagaimanakah cara kita mendapatkan sifat-sifat seperti ini, dan bagaimanakah kita mahu mencipta, memunculkan sosok-sosok mahasiswa sekali gus mencetak watak-watak yang unggul sebegini?

Barangkali.. jawapan yang saudara-saudara temukan dalam nota ini tidaklah tepat. Tetapi, ia setidak-tidaknya ia bolehlah menjadi sandaran dan rujukan untuk mencapai satu fikiran yang lain pula, insya Allah. Apa yang saya ingin cadangkan ialah..


Persekitaran demokrasi yang sihat
Betapa kita perlu tegakkan kembali demokrasi di dalam universiti. Universiti-universiti kita ini perlu bebas daripada segala cengkaman manusia politikus, politik kepartian. Kita boleh berhubungan dengan mereka. Tetapi, untuk mereka masuk campur dalam urusan pemilihan NC, TNC, Dekan, maka hal itu perlu dielakkan sama sekali.

Catatan nota ini menyandarkan harapannya kepada pelajar sebagai golongan yang paling ramai untuk menggalas perubahan tersebut. Persekitaran demokrasi yang sihat, juga sifat autonomi universiti yang unggul akan dapat melahirkan 'nabi-nabi dan rasul-rasul' pilihan di dalam universiti kita pada hari ini.

Sejarah membuktikan bagaimana sunnatullah telah bertindak dalam hal begini. Tarbiyyah akliah berlaku secara falsafah ketika Nabi Ibrahim a.s mencari Tuhan semasa kecilnya di dalam sebuah gua. Baginda tersasar sehingga menyangka bintang-bintang cakerawala dan bulan matahari sebagai Tuhan pada awalnya.

Tapi, tanpa campurtangan sesiapa pun, akhirnya Ibrahim a.s telah menemui jalan Tauhid! Sunnatullah terus menjalankan misi tarbiyahnya dengan meletakkan anak baginda, Ismail a.s di sebuah tanah tandus yang langsung sifar daripada medan peperangan, percekcokan, dan pergeseran antara Rom dan Parsi.

Tiada lagi fahaman ideologi bertapak dan bertunas di lembah tandus itu melainkan ajaran Tauhid, warisan ajaran Ibrahim a.s itulah yang diamalkan mereka, melainkan sedikit dari kalangan mereka yang telah disesatkan.

Ketika ajaran Tauhid masih terpelihara di balik tulang sulbi nenek moyang Muhammad s.a.w sehinggalah kepada Ismail a.s, umat Yahudi telah tersesat oleh pelbagai ujian yang terperangkap oleh pelbagai tamadun, kaum dan bangsa luar yang liar falsafahnya.

Pertembungan dengan tamadun Mesir misalnya, pertembungan dengan amalan Fir'aun contohnya telah menyebabkan mereka kembali berputar daripada ajaran Tauhid Ibrahim a.s. Demikian kuatnya keinginan kepada sembahan kaum Fir'aun ini, sehinggakan kisah ini kerap disebut-sebutkan di dalam al-Quran.

Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan." Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.

"Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu".

Nabi Musa berkata lagi: "Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain daripada Allah, padahal Ia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?" [al-A'raaf: 138, 138, 140]

Beza bangsa Arab dan bangsa Yahudi
Maka, bangsa Arab masih terkepung di tanah tandus yang tujuannya untuk memelihara ajaran Tauhid itu agar tidak tercemar oleh perlagaan ideologi bawaan Rom dan Parsi.

Sedangkan bangsa Yahudi telah tercemar oleh segala bangsa-bangsa yang pernah mereka temui. Lihat kedegilan Yahudi. Walaupun Yahudi terbebas dari lembah sengsara jajahan Fir'aun, namun setelah menyeberangi Laut Merah, mereka masih tetap setia menyembah apa-apa yang disembah oleh penjajah mereka; Fir'aun.

Tapi, di tanah tandus di mana Nabi Ismail diletakkan, hanya nenek moyang Muhammad s.a.w yang masih setia berkiblatkan kepada ajaran Nabi Ibrahim dan selebihnya pemuka Quraisy yang tersasar menyembah selain daripada Allah s.w.t.

Namun, kekuasaan ajaran Tauhid mengatasi ajaran sembahan berhala kerana pemegang kunci Kaabah masih berada di dalam genggaman warisan jurai keturunan nenek moyang Nabi Muhammad s.a.w.

Ekoran itulah program tarbiyah sunnatullah ke atas bangsa Yahudi bermula lagi dengan cara Tuhan mengepung mereka di Padang Teh selama 40 tahun supaya generasi sembah berhala itu digantikan dengan generasi Tauhid.

Ibnu Khaldun lewat Mukadimahnya menyebutkan bahawa adapun tujuan bangsa Yahudi itu diletakkan dalam keadaan sebegitu (40 tahun di Padang Teh) adalah supaya tidak akan terjadinya percampuran ajaran Tauhid dengan sembahan berhala oleh segala bangsa.

Akhirnya, program terawal ke atas Nabi Ibrahim ketika kecilnya, iaitu pengasingan tubuh dan jiwa di sebuah gua, diterapkan ke atas Ismail dan ibunya Siti Hajar di padang pasir di antara Safa dan Marwah, juga diterapkan ke atas bangsa Yahudi di Padang Teh.

Pengasingan demi pengasingan ini bertujuan melahirkan kekuatan-kekuatan, tenaga baru untuk memelihara akar tunjang Tauhid yang berkekalan sehingga ke negara akhirat.

Tiba masanya IPT 'diasingkan' daripada campurtangan politik!
Maka, sudah tiba masanya (malah sejak dahulu) hal-ehwal pemerintahan dan perlantikan para pegawai universiti dikembalikan kepada universiti. Perebutan kuasa politik parti ini akan lebih memburukkan keadaan dan melahirkan kelemahan jiwa, menzahir sifat takut dalam menyatakan kebenaran. Kebijaksaan jadi tersimpan meredap dalam fikiran.

Yang rugi akhirnya adalah umat, rakyat dan masyarakat sekeliling universiti sendiri.

Saudara-saudari yang dikasihi.

Maka, sekali lagi, coretan ini berwasiat kepada anda terhadap tiga nilai-nilai universal ini; Kebijaksanaan, Kejujuran dan Keberanian. Ketiga-tiga kunci ini akan membolehkan anda semua mendapatkan kunci teragung iaitu menjelmakan Kebenaran.

Hanya bermodalkan Kebenaran, maka cita-cita teragung kita untuk mencetak masyarakat yang adil akan tercapai.

Ini kerana, Keadilan akan tercapai apabilan Kebenaran mula terzahir!

4:02 a.m, 30 Januari
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Bantahan, syor, cadangan bolehlah dikemukakan lewat ibnuamir@yahoo.com

Sunday, June 15, 2008

Mahasiswa perlu ada nilai tambah

Graduan mesti cari keistimewaan diri selain daripada ijazah, diploma.
SETIAP pertengahan tahun kita akan melihat kebanjiran mahasiswa yang menamatkan pengajian dari pusat pengajian tinggi. Data Jabatan Perangkaan mendapati 31,000 graduan masih menganggur pada akhir suku pertama tahun ini.
Menurut maklumat Kementerian Sumber Manusia pula, Malaysia mengeluarkan 60,000 graduan setiap tahun. Dilema yang membelenggu siswazah sudah pastilah untuk mencari pekerjaan. Ramai juga merungut kerana sukar mendapat kerja.
Persaingan berlaku di kalangan siswazah menganggur. Penulis ingin menarik perhatian pembaca terutama siswazah yang baru menamatkan pengajian mengenai kesukaran mendapatkan pekerjaan ini.
Siswazah perlu bertanya apakah keistimewaan diri yang boleh dijadikan sandaran untuk layak mengisi sesuatu kekosongan jawatan. Kebanyakan mereka yang baru bergelar siswazah mungkin masih lagi terawang-awang dan tidak berpijak di bumi nyata.
Mereka rasa bahawa apa yang mereka buat selama ini sudah terlalu bagus dan hebat. Mereka berasakan bahawa ijazah atau diploma yang mereka peroleh itu sudah terlalu besar untuk mengharungi dunia sebenar yang penuh dengan cabaran dan liku kehidupan.
Siswazah juga harus tahu bahawa institusi tempat mereka belajar bukanlah sebagai tiket untuk mereka mendahului pesaing lain bagi mendapat pekerjaan. Mereka yang keluar dari universiti tersohor negara contohnya merasakan mereka sudah cukup bagus berbanding dengan siswazah institusi kecil yang tidak terkenal.

Sebenarnya nama institusi pengajian tinggi yang mereka bawa hanya menyumbang sebahagian kecil saja daripada kejayaan mereka untuk mendapat pekerjaan. Sekiranya mereka tidak mempunyai keterampilan baik dan keistimewaan yang membezakan mereka daripada calon lain, mereka tetap tidak akan berjaya mendapat pekerjaan.
Keistimewaan inilah yang dikatakan sebagai 'nilai tambah'. Nilai tambah adalah keistimewaan tambahan yang dimiliki seseorang calon untuk membezakannya dengan calon lain. Keistimewaan ini penting dalam situasi apabila calon yang disenarai pendek mempunyai kelayakan akademik hampir sama.
Contohnya dalam satu temu duga, ada 10 calon mempunyai Purata Mata Gred Keseluruhan (CGPA) 3.5. Tetapi cuma satu kekosongan. Pada masa inilah keistimewaan lain dimiliki calon akan dinilai.
Kehidupan ketika di kampus bukan saja untuk mentelaah buku pelajaran semata-mata. Banyak aktiviti diadakan di kampus yang boleh digunakan sebagai tempat mencari nilai tambah atau keistimewaan sebagai bekalan untuk menempuh alam pekerjaan nanti.

Nilai tambah ini boleh diperoleh melalui beberapa cara, antaranya melalui kepemimpinan, keusahawanan, sukan, badan beruniform dan kemahiran atau ilmu dari segi kelangsungan hidup. Dengan menyertai persatuan atau kelab pelajar, akan dapat mengasah bakat kepemimpinan mereka.
Sebenarnya ramai berpendapat bahawa menyertai dan memimpin persatuan hanyalah untuk aktiviti di kampus dan ia tidak diperlukan di alam pekerjaan. Pendapat ini silap sama sekali.
Jika kita menyertai aktiviti persatuan, contohnya mengendalikan seminar, menganjurkan kursus, mengadakan majlis makan malam, ia memberi satu pengalaman yang memang akan di bawa ke alam pekerjaan. Jika kita bekerja di syarikat swasta contohnya, mereka mungkin akan mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman, majlis jamuan makan malam korporat tahunan atau hari keluarga. Kakitangan yang ada pengalaman akan diminta untuk mengendalikan semua ini.
Mereka yang sudah biasa dengan aktiviti seperti ini di kampus tidak akan berasa kekok untuk mengendalikan majlis seperti ini sewaktu di tempat kerja. Begitu juga kita menjadi pemimpin persatuan. Mereka yang sudah biasa memimpin persatuan tidak akan menghadapi masalah untuk mengendalikan mesyuarat apabila mereka bekerja nanti dan tidak kekok untuk menguruskan pekerja bawahan kerana mereka sudah biasa menjadi presiden atau pengarah projek ketika di kampus dulu.
Kemahiran dalam kepemimpinan juga berkait rapat dengan kebolehan berkomunikasi. Mereka yang aktif dan biasa menjadi pengacara majlis ketika di kampus contohnya, akan mempunyai keyakinan untuk bercakap kerana mereka sudah biasa bercakap di khalayak ramai.
Sekarang ini banyak aktiviti bersifat keusahawanan dianjurkan di kampus. Program siswaniaga contohnya adalah program mengasah bakat keusahawanan di kalangan mahasiswa.
Menyertai program siswaniaga bukanlah bermaksud mereka mesti menjadi usahawan tetapi apa yang lebih penting, ciri seperti ketabahan, bijak mencari peluang, kreatif yang dipupuk ketika mereka menyertai program terbabit, akan berguna di alam pekerjaan mereka.
Nilai keusahawanan bukan hanya ada kepada usahawan, malah seseorang eksekutif yang mempunyai ciri usahawan akan dapat membawa organisasinya ke arah lebih baik, sesuai dengan nilai keusahawanan yang sentiasa ingin kepada perubahan dan perkembangan positif.
Selain itu, menyertai badan beruniform adalah sangat baik. Malah banyak syarikat korporat menggemari bakal pekerja mereka yang mempunyai latar belakang dalam badan beruniform. Ini kerana mereka yang biasa terbabit dengan badan beruniform sudah terdidik dengan disiplin terutama dari segi menepati masa.
Kebolehan dalam sukan sangat berharga kepada siswazah. Ini kerana banyak syarikat korporat menggunakan sukan untuk menaikkan lagi nama syarikat mereka. Contohnya TM yang mempunyai pasukan bolanya sendiri dan menyertai kejohanan bertaraf nasional di negara ini.
Aktiviti sukan juga selalunya digunakan sebagai medium sosial di dalam syarikat. Banyak syarikat, contohnya bank mengadakan perlawanan futsal antara cawangan sebagai aktiviti merapatkan hubungan antara cawangan mereka.
Cawangan yang memiliki ahli sukan berbakat ini sudah pasti boleh menaikkan nama cawangan mereka di dalam syarikat mereka sendiri. Ini menjadikan pekerja mempunyai bakat sukan sangat diminati oleh majikan.
Kemahiran kelangsungan hidup juga dapat memberi keistimewaan kepada seseorang calon temu duga. Banyak ilmu berkaitan kemahiran seperti ini boleh ditimba mahasiswa, antaranya ilmu pertolongan cemas, ilmu menyelamat, kemahiran bahasa isyarat dan banyak lagi adalah kemahiran yang boleh menarik perhatian majikan untuk mengambil seseorang siswazah bekerja di organisasi mereka.
Pengalaman penulis sebagai pensyarah, ramai di antara bekas pelajar memberi maklum balas baik terhadap aktiviti ko-kurikulum mereka ketika di kampus. Mereka memberitahu bahawa penemuduga lebih banyak bertanya kepada mengenai aktiviti kepemimpinan ketika di kampus berbanding dengan pengetahuan mengenai akademik.
Sebenarnya aktiviti kepemimpinan dan aktiviti lain selain akademik akan membentuk keyakinan diri kepada siswazah apabila mereka berada dalam sesuatu organisasi. Majikan tidak berminat kepada eksekutif yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidangnya tetapi tidak mempunyai keyakinan diri kerana tidak biasa berhubung dengan orang ramai.
Dunia korporat membabitkan perhubungan dengan banyak pihak dan sudah tentulah kemahiran perhubungan manusia sangat penting. Ini hanya dapat digilap sekiranya mahasiswa bergiat aktif dalam persatuan ketika di kampus.
Bukan bermaksud mendapat CGPA yang tinggi tidak penting. Tetapi pada sesetengah keadaan, CGPA sederhana yang disertakan dengan nilai tambah adalah lebih disukai majikan berbanding CGPA tinggi tanpa nilai tambah.
Tetapi harus diingat, CGPA yang tinggi dan mempunyai nilai tambah adalah yang terbaik. Ini bermakna jika dengan kelulusan tinggi ditambah dengan keistimewaan lain yang diperoleh seseorang pelajar, akan menjadikannya lebih berdaya saing dalam usaha mendapatkan pekerjaan.
Nassrul Hakim Md Jani
Pensyarah Pengurusan Perniagaan dan Ko-ordinator Pusat Informasi Usahawan,
Kolej Profesional Mara Melaka