Sunday, June 15, 2008

Mahasiswa perlu ada nilai tambah

Graduan mesti cari keistimewaan diri selain daripada ijazah, diploma.
SETIAP pertengahan tahun kita akan melihat kebanjiran mahasiswa yang menamatkan pengajian dari pusat pengajian tinggi. Data Jabatan Perangkaan mendapati 31,000 graduan masih menganggur pada akhir suku pertama tahun ini.
Menurut maklumat Kementerian Sumber Manusia pula, Malaysia mengeluarkan 60,000 graduan setiap tahun. Dilema yang membelenggu siswazah sudah pastilah untuk mencari pekerjaan. Ramai juga merungut kerana sukar mendapat kerja.
Persaingan berlaku di kalangan siswazah menganggur. Penulis ingin menarik perhatian pembaca terutama siswazah yang baru menamatkan pengajian mengenai kesukaran mendapatkan pekerjaan ini.
Siswazah perlu bertanya apakah keistimewaan diri yang boleh dijadikan sandaran untuk layak mengisi sesuatu kekosongan jawatan. Kebanyakan mereka yang baru bergelar siswazah mungkin masih lagi terawang-awang dan tidak berpijak di bumi nyata.
Mereka rasa bahawa apa yang mereka buat selama ini sudah terlalu bagus dan hebat. Mereka berasakan bahawa ijazah atau diploma yang mereka peroleh itu sudah terlalu besar untuk mengharungi dunia sebenar yang penuh dengan cabaran dan liku kehidupan.
Siswazah juga harus tahu bahawa institusi tempat mereka belajar bukanlah sebagai tiket untuk mereka mendahului pesaing lain bagi mendapat pekerjaan. Mereka yang keluar dari universiti tersohor negara contohnya merasakan mereka sudah cukup bagus berbanding dengan siswazah institusi kecil yang tidak terkenal.

Sebenarnya nama institusi pengajian tinggi yang mereka bawa hanya menyumbang sebahagian kecil saja daripada kejayaan mereka untuk mendapat pekerjaan. Sekiranya mereka tidak mempunyai keterampilan baik dan keistimewaan yang membezakan mereka daripada calon lain, mereka tetap tidak akan berjaya mendapat pekerjaan.
Keistimewaan inilah yang dikatakan sebagai 'nilai tambah'. Nilai tambah adalah keistimewaan tambahan yang dimiliki seseorang calon untuk membezakannya dengan calon lain. Keistimewaan ini penting dalam situasi apabila calon yang disenarai pendek mempunyai kelayakan akademik hampir sama.
Contohnya dalam satu temu duga, ada 10 calon mempunyai Purata Mata Gred Keseluruhan (CGPA) 3.5. Tetapi cuma satu kekosongan. Pada masa inilah keistimewaan lain dimiliki calon akan dinilai.
Kehidupan ketika di kampus bukan saja untuk mentelaah buku pelajaran semata-mata. Banyak aktiviti diadakan di kampus yang boleh digunakan sebagai tempat mencari nilai tambah atau keistimewaan sebagai bekalan untuk menempuh alam pekerjaan nanti.

Nilai tambah ini boleh diperoleh melalui beberapa cara, antaranya melalui kepemimpinan, keusahawanan, sukan, badan beruniform dan kemahiran atau ilmu dari segi kelangsungan hidup. Dengan menyertai persatuan atau kelab pelajar, akan dapat mengasah bakat kepemimpinan mereka.
Sebenarnya ramai berpendapat bahawa menyertai dan memimpin persatuan hanyalah untuk aktiviti di kampus dan ia tidak diperlukan di alam pekerjaan. Pendapat ini silap sama sekali.
Jika kita menyertai aktiviti persatuan, contohnya mengendalikan seminar, menganjurkan kursus, mengadakan majlis makan malam, ia memberi satu pengalaman yang memang akan di bawa ke alam pekerjaan. Jika kita bekerja di syarikat swasta contohnya, mereka mungkin akan mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman, majlis jamuan makan malam korporat tahunan atau hari keluarga. Kakitangan yang ada pengalaman akan diminta untuk mengendalikan semua ini.
Mereka yang sudah biasa dengan aktiviti seperti ini di kampus tidak akan berasa kekok untuk mengendalikan majlis seperti ini sewaktu di tempat kerja. Begitu juga kita menjadi pemimpin persatuan. Mereka yang sudah biasa memimpin persatuan tidak akan menghadapi masalah untuk mengendalikan mesyuarat apabila mereka bekerja nanti dan tidak kekok untuk menguruskan pekerja bawahan kerana mereka sudah biasa menjadi presiden atau pengarah projek ketika di kampus dulu.
Kemahiran dalam kepemimpinan juga berkait rapat dengan kebolehan berkomunikasi. Mereka yang aktif dan biasa menjadi pengacara majlis ketika di kampus contohnya, akan mempunyai keyakinan untuk bercakap kerana mereka sudah biasa bercakap di khalayak ramai.
Sekarang ini banyak aktiviti bersifat keusahawanan dianjurkan di kampus. Program siswaniaga contohnya adalah program mengasah bakat keusahawanan di kalangan mahasiswa.
Menyertai program siswaniaga bukanlah bermaksud mereka mesti menjadi usahawan tetapi apa yang lebih penting, ciri seperti ketabahan, bijak mencari peluang, kreatif yang dipupuk ketika mereka menyertai program terbabit, akan berguna di alam pekerjaan mereka.
Nilai keusahawanan bukan hanya ada kepada usahawan, malah seseorang eksekutif yang mempunyai ciri usahawan akan dapat membawa organisasinya ke arah lebih baik, sesuai dengan nilai keusahawanan yang sentiasa ingin kepada perubahan dan perkembangan positif.
Selain itu, menyertai badan beruniform adalah sangat baik. Malah banyak syarikat korporat menggemari bakal pekerja mereka yang mempunyai latar belakang dalam badan beruniform. Ini kerana mereka yang biasa terbabit dengan badan beruniform sudah terdidik dengan disiplin terutama dari segi menepati masa.
Kebolehan dalam sukan sangat berharga kepada siswazah. Ini kerana banyak syarikat korporat menggunakan sukan untuk menaikkan lagi nama syarikat mereka. Contohnya TM yang mempunyai pasukan bolanya sendiri dan menyertai kejohanan bertaraf nasional di negara ini.
Aktiviti sukan juga selalunya digunakan sebagai medium sosial di dalam syarikat. Banyak syarikat, contohnya bank mengadakan perlawanan futsal antara cawangan sebagai aktiviti merapatkan hubungan antara cawangan mereka.
Cawangan yang memiliki ahli sukan berbakat ini sudah pasti boleh menaikkan nama cawangan mereka di dalam syarikat mereka sendiri. Ini menjadikan pekerja mempunyai bakat sukan sangat diminati oleh majikan.
Kemahiran kelangsungan hidup juga dapat memberi keistimewaan kepada seseorang calon temu duga. Banyak ilmu berkaitan kemahiran seperti ini boleh ditimba mahasiswa, antaranya ilmu pertolongan cemas, ilmu menyelamat, kemahiran bahasa isyarat dan banyak lagi adalah kemahiran yang boleh menarik perhatian majikan untuk mengambil seseorang siswazah bekerja di organisasi mereka.
Pengalaman penulis sebagai pensyarah, ramai di antara bekas pelajar memberi maklum balas baik terhadap aktiviti ko-kurikulum mereka ketika di kampus. Mereka memberitahu bahawa penemuduga lebih banyak bertanya kepada mengenai aktiviti kepemimpinan ketika di kampus berbanding dengan pengetahuan mengenai akademik.
Sebenarnya aktiviti kepemimpinan dan aktiviti lain selain akademik akan membentuk keyakinan diri kepada siswazah apabila mereka berada dalam sesuatu organisasi. Majikan tidak berminat kepada eksekutif yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidangnya tetapi tidak mempunyai keyakinan diri kerana tidak biasa berhubung dengan orang ramai.
Dunia korporat membabitkan perhubungan dengan banyak pihak dan sudah tentulah kemahiran perhubungan manusia sangat penting. Ini hanya dapat digilap sekiranya mahasiswa bergiat aktif dalam persatuan ketika di kampus.
Bukan bermaksud mendapat CGPA yang tinggi tidak penting. Tetapi pada sesetengah keadaan, CGPA sederhana yang disertakan dengan nilai tambah adalah lebih disukai majikan berbanding CGPA tinggi tanpa nilai tambah.
Tetapi harus diingat, CGPA yang tinggi dan mempunyai nilai tambah adalah yang terbaik. Ini bermakna jika dengan kelulusan tinggi ditambah dengan keistimewaan lain yang diperoleh seseorang pelajar, akan menjadikannya lebih berdaya saing dalam usaha mendapatkan pekerjaan.
Nassrul Hakim Md Jani
Pensyarah Pengurusan Perniagaan dan Ko-ordinator Pusat Informasi Usahawan,
Kolej Profesional Mara Melaka

Tingkatan Enam ke sekolah khas

Kelas Tingkatan Enam di seluruh negara mungkin diasingkan atau dipindahkan dari sekolah menengah biasa ke sekolah khas sejajar penjenamaan semula yang akan dilaksanakan terhadap sistem pelajaran pada peringkat itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, berkata kementerian sedang mengkaji alternatif itu dan kini menunggu keputusan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Langkah mengasingkan atau memindahkan Tingkatan Enam ke sekolah khas itu juga selaras dengan penjenamaan semula pelajar terbabit yang akan digelar mahasiswa dengan guru khusus disediakan bagi mereka seperti diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, kelmarin.

"Model sama berjaya dipraktikkan di Brunei, dengan setengah Tingkatan Enam mereka ditawarkan sama ada di sekolah khas atau pusat matrikulasi khas yang dikhususkan untuk Tingkatan Enam saja.

"Kementerian sedang berusaha ke arah merealisasikan langkah itu dan kekangan hanya dari segi peruntukan kewangan. Kami percaya langkah penjimatan RM100 juta setahun yang sedang diambil kementerian akan membantu kita mewujudkan sekolah khas bagi pelajar itu," katanya selepas merasmikan Pameran Sains Kanak-Kanak Kebangsaan 2008, di sini, semalam.

Semalam akhbar melaporkan Kementerian Pelajaran akan melakukan penjenamaan semula terhadap pendidikan di Tingkatan Enam supaya lebih bercirikan sistem di universiti, termasuk memperkenalkan pembelajaran berbentuk kuliah dan tutorial.

Ia berikutan peningkatan gred bagi 23,471 pegawai dalam sektor pendidikan membabitkan pensyarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, guru Tingkatan Enam dan guru sekolah menengah yang mempunyai lebih 1,750 murid, dinaikkan, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Alimuddin ketika mengumumkannya berkata, berikutan peningkatan gred itu, pelajar Tingkatan Enam akan dijenamakan sebagai mahasiswa dengan guru khusus disediakan bagi mengajar mereka, selewat-lewatnya mulai tahun depan.

Tahun lalu, ada 180,630 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak memasuki Tingkatan Enam dengan kira-kira 127,879 memasuki aliran kemanusiaan, manakala 52,751 belajar dalam aliran sains.

Zulkurnain berkata, langkah menaik taraf Tingkatan Enam selaras dengan statusnya sebagai pendidikan pra-universiti yang berperanan memperlengkapkan pelajar untuk menuntut ilmu dalam persekitaran institusi pengajian tinggi.

"Tingkatan Enam adalah kelas peralihan pelajar dari peringkat menengah ke peringkat tinggi jadi ia memerlukan persekitaran serta kemudahan khusus yang berbeza dengan sekolah menengah biasa," katanya.

Thursday, June 12, 2008

Pendekatan manusiawi bina kematangan, kebijaksanaan siswa

JULAI menyaksikan universiti awam kembali meriah apabila pelajar baru mula mendaftar. Keterujaan dan kegirangan tergambar pada wajah mereka yang menyemarakkan kolej kediaman, dewan kuliah dan padang rekreasi, bertemu dan berinteraksi dengan akademia, pelajar senior dan teman baru.

Seperti kesabaran pelajar baru yang berbaris untuk mendaftar, pelajar senior menganggotai jawatankuasa orientasi juga sentiasa bersedia memberi bimbingan. Yang lebih bernasib baik, memperoleh tawaran program yang sememangnya menjadi pilihan (kadangkala pilihan ibu bapa), manakala yang lain berpuas hati dengan program pilihan kedua atau ketiga.

Di kebanyakan universiti, ada pelajar ditawarkan program yang sebenarnya bukan pilihan utama. Berdepan dengan situasi sedemikian, fakulti harus berasa tercabar untuk memotivasikan pelajar seperti ini supaya minat mereka yang mendalam terhadap kursus yang sedang diikutinya dapat dipupuk.

Kemasukan pelajar sudah pun bermula dan tentunya harapan tinggi diletakkan kepada mereka. Mereka adalah kelompok kecil terpilih, memiliki keupayaan akademik dan kepintaran. Kaedah pemilihan digunakan memastikan mereka adalah golongan yang mampu mencerap fakta dan ilmu pengetahuan baru.

Namun, kehidupan di universiti bukan sekadar menjana ilmu pengetahuan dan memperoleh beberapa kemahiran praktis. Malah, ia merangkumi proses pembangunan diri, pembinaan keupayaan untuk berkomunikasi dengan orang lain serta kebolehan meramal, mencipta, membentuk dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

Justeru, kebijaksanaan dan kematangan harus terbina untuk menserasikannya dengan nilai dan budaya masyarakatnya.

Kita sedang berdepan tuntutan masyarakat bahawa pembentukan generasi siswazah yang sedemikian adalah tanggungjawab universiti. Ia juga seolah-olah sudah menjadi kontrak sosial antara universiti dengan masyarakat yang berlangsung secara berterusan.

Tuntutan dan harapan masyarakat sudah semakin bertambah dan lebih mendesak lagi dalam era globalisasi ini. Kepantasan jaringan internet menyaksikan maklumat dan ilmu pengetahuan berada di hujung jari dengan hanya satu petikan.

Tiada siapa dapat menjangkakan, apakah nanti ilmu pengetahuan dan maklumat itu akan menyuburkan atau memusnahkan kekayaan, keselamatan negara, kestabilan politik, alam sekitar, keadilan dan kesejahteraan kehidupan sosial kita.

Keruntuhan Syarikat Enron Corporation pada akhir 2001 misalnya, memperlihatkan pentingnya golongan profesional peka dan cekap mengenal pasti dan menilai ancaman terhadap kebebasan iktisas atau organisasi mereka.

Keadaan ini juga amat bergantung kepada tahap penghayatan serta keakuran organisasi terhadap piawaian profesional tertinggi berasaskan bukan sekadar peraturan, malah menjangkau prinsip etika.

Dalam memperkasakan pelajar dengan ilmu pengetahuan terkini atau kemahiran menjana ilmu terbabit, universiti berkewajipan memimpin pelajar mengaplikasi ilmu pengetahuan untuk kesejahteraan awam dan merumuskan sesuatu keputusan berasaskan kematangan, kebijaksanaan serta prinsip nilai dan etika.

Kebijaksanaan dikatakan matang bersama peningkatan usia. Bagaimanapun, kita tidak mampu menantikan peningkatan usia untuk melihat kematangan dan kebijaksanaan itu kerana siswazah kita diharapkan mampu mempamerkan kematangan serta kebijaksanaan sejurus lulus dari universiti. Bagaimanakah universiti dapat membantu pelajarnya beranjak daripada alam persekolahan yang teracu kepada kehidupan penuh pertanggungjawaban terhadap pembelajaran kendiri?

Bagaimanakah mereka harus dibantu untuk belajar sendiri, memiliki kebebasan berfikir, berkreatif dalam melahirkan pemikiran baru, berhujah dan menzahirkan idea dan memaparkan kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan serta bertindak berdasarkan prinsip etika sejurus mereka menamatkan pengajiannya?

Seandainya nilai kebijaksanaan dan kematangan adalah perjuangan universiti, ini sewajarnya tergambar pada falsafah pendidikan dan matlamatnya. Ini juga harus diterjemahkan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti juga strategi penilaian terhadap pencapaiannya.

Seluruh pihak yang mempunyai kepentingan terhadap universiti - akademia, pentadbir, staf sokongan serta pelajar prasiswazah dan siswazahnya perlu memahami seluruh aspirasi universiti serta beriltizam terhadap usaha mencapainya.

Zaman kita harapkan pelajar menjejak kaki ke universiti sudah cukup dewasa dan berkeupayaan menyerap nilai dan pelbagai kebolehan sewaktu mereka mengikuti kursus yang diambil, mungkin sudah berlalu. Barangkali, pada masa itu, sistem elitis memilih pelajar yang melanjutkan pengajian ke universiti mempunyai profesor selaku mentor yang dapat menyemai dan menerap nilai ini dengan lebih daripada generasi ke generasi pelajar dan sarjana.

Dengan pendemokrasian pendidikan tinggi, peluang terbuka luas. Justeru, universiti perlu berusaha gigih untuk membina kematangan dan kebijaksanaan pelajarnya. Dengan kebanjiran pelajar di universiti, akan menyebabkan berlaku jurang perhubungan antara guru dan pelajarnya yang sebegitu ramai.

Kurikulum pula tidak harus terisi dengan kandungan disiplin pengajian semata-mata kerana kematangan dan kebijaksanaan tidak berupaya dipupuk dengan hanya penyaluran fakta akademik. Kandungan kurikulum pengajian, seharusnya turut diperlengkapkan secara bersepadu antaranya dengan etika, logik, budaya, politik dan falsafah.

Semua harus diintegrasikan sebagai suatu asas kukuh yang merangkumi persoalan dan renungan pengalaman hidup, yang terjana daripada interaksi sosial dalam dan di luar kampus, termasuk pengalaman di kolej kediaman dan padang sukan atau aktiviti kokurikulum lain.

Penyelesaian masalah, pembelajaran daripada pengalaman, bimbingan, membuat keputusan berasaskan fakta dan imaginasi kreatif adalah beberapa pendekatan merangsang olahan pemikiran yang akan memandu kepada kejelasan serta usaha ke arah pemahaman mendalam terhadap sesuatu.

Pendekatan ini juga akan melebarkan horizon perspektif pelajar yang sudah melalui pelbagai pengalaman, di samping membina keupayaan untuk mencari jawapan terhadap segala persoalan kehidupan.

Pemerolehan jawapan dan penjanaan idea menerusi kaedah berkenaan akan mengembangkan kreativiti dan kematangan. Pelajar akan belajar dengan halus bagaimana mengimbangkan risiko dalam pemanfaatan idea khususnya dengan kesedaran bagaimana dan bila mengaplikasikannya dalam situasi tertentu dan menyedari apabila mereka tidak memiliki keupayaan untuk menyelesaikan permasalahan, pada waktu itulah kebijaksanaan dan kematangan orang lain diperlukan.

Justeru, kebijaksanaan dan kematangan sedemikian hanya terbentuk menerusi pendekatan manusiawi, ketulusan dan kesabaran. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran itu mestilah bermula pada hari pertama kehidupan di universiti.

Proses ini harus berlaku berterusan dan diperkukuhkan sehingga mereka lulus dari universiti. Matlamat yang ingin dicapai adalah untuk memastikan siswazah ini dibekalkan dengan keupayaan untuk melakukan refleksi diri dan penerokaan mencari kebenaran serta menyediakan jawapan terhadap persoalan masa depan.

Penyuburan kematangan dan kebijaksanaan kepada pelajar ibarat menanam sepohon buluh Cina. Pada empat tahun pertama, pertumbuhannya agak perlahan meskipun disirami serta dibajai dengan teratur.

Namun, pada tahun kelima, dengan penyiraman dan pembajaan berterusan, pohon buluh itu akan melonjak kepada ketinggian sembilan puluh kaki dalam tempoh lima minggu saja. Persoalannya ialah, 'adakah pohon buluh China membesar menjadi sembilan puluh kaki tingginya dalam tempoh lima minggu atau lima tahun?

Jawapannya tentulah lima tahun. Seandainya dalam tempoh itu proses penyiraman dan pembajaannya terhenti seketika, pastinya pohon itu akan mati.


Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sunday, June 8, 2008

Pinjaman PTPTN Haram???

Majlis Fatwa Kebangsaan mengarahkan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) mengubah kaedah pengiraan caj perkhidmatan tiga peratus dikenakan kepada peminjamnya mengikut garis panduan ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata keputusan berhubung perkara itu ditetapkan pada mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang diadakan di Alor Star, Kedah, baru-baru ini.

“Berdasarkan keputusan itu, kami menemui PTPTN dan menerangkan langkah perlu diambil untuk memastikan kaedah pengiraan dilaksanakan selaras garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana kami mahu membantu PTPTN menyelesaikan kekaburan berhubung isu itu.

“Berikutan itu, pemantauan dari semasa ke semasa akan dilakukan terutama menerusi pembentangan PTPTN berhubung perubahan kaedah itu untuk memastikan mereka setuju dan mematuhi garis panduan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa sama ada caj perkhidmatan tiga peratus dikenakan kepada peminjam PTPTN ada berunsur riba atau tidak.

Isu itu timbul apabila peminjam mempersoalkan ketelusan pengiraan sebenar kos perkhidmatan PTPTN kerana ia tidak dinyatakan secara terperinci.

Bagaimanapun, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang dikeluarkan pada 11 Mac 2002 menggariskan, mengikut kaedah syariah, PTPTN boleh menggunakan kos perkhidmatan mengikut perkiraan sebenar terhadap pinjaman diberikan.

Berdasarkan keputusan itu, kos PTPTN berkenaan perlu mengikut perkiraan sebenar terhadap pinjaman diberikan kepada pelajar, bukannya dengan anggaran peratusan seperti amalan sekarang.

Malah, resolusi Majlis Syariah Organisasi Perakaunan dan Audit bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) dan Majlis Fiqh Sedunia di bawah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menyatakan, caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal saja, manakala caj yang dikenakan melebihi kos sebenar adalah haram.

Ditanya status caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN, sama ada ia dikategorikan sebagai riba dan haram, Wan Mohamad berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan mengutamakan usaha untuk memperbaiki kaedah pengiraannya bagi mengatasi kekeliruan orang ramai.

“Apa yang berlaku kepada PTPTN harus menjadi iktibar dan sepatutnya sebarang usaha untuk memperkenalkan skim yang membabitkan soal kewangan perlu mendapat pandangan institusi fatwa bagi mengelak kekeliruan.

Saturday, May 31, 2008

Usah kongkong pelajar berpolitik

Pertubuhan perwakilan pelajar universiti berharap pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak disertai peraturan baru yang mengongkong khususnya membabitkan hak pelajar berpolitik.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Zaid Mohd Idrus, berkata disamping hasrat kerajaan mahu melihat mahasiswa yang lebih berketrampilan dan cemerlang dalam akademik, hak pelajar berpolitik tidak boleh disekat.

"Kami menyambut baik hasrat kerajaan untuk meminda AUKU, tetapi isu yang menjadi perdebatan ketika ini ialah mengenai pembabitan pelajar dalam politik dan ini tidak seharusnya dijadikan teras pindaan.

"Bila kita memperkatakan hal berpolitik, ia hak semua rakyat lebih-lebih lagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, yang memberi jaminan pindaan kepada AUKU tidak akan mengongkong pembabitan pelajar dalam kegiatan yang membina dan konstruktif.

Mohd Zaid berkata, kehidupan mahasiswa seharusnya tidak terhad hanya kepada dewan kuliah, bilik tutorial dan perpustakaan, sebaliknya membabitkan seluruh kehidupan universiti dan masyarakat, termasuk kokurikulum, kebajikan dan politik kampus.

Pembabitan seumpamanya mampu untuk mematangkan kepemimpinan mahasiswa dan membuka minda mereka untuk memandang kepada dunia luar sebagai penilaian mengenai apa yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, berkata pembabitan pelajar dalam politik tidak dapat dielakkan.

"Dalam akhbar yang kami baca setiap hari pun begitu banyak mengetengahkan mengenai politik, justeru apa yang berlaku sekurang-kurangnya membuatkan kami mahu mengambil tahu mengenai perkembangan semasa dan tidak terlalu terkongkong dengan tanggungjawab sebagai pelajar.

"Malah bukan isu politik saja yang menjadi minat pelajar, sebaliknya pelbagai isu semasa dalam negara dan global, yang juga tidak dapat lari daripada perkembangan politik semasa," katanya dengan keyakinan pindaan itu akan 'membebaskan' pelajar universiti, bukan untuk jalan salah, sebaliknya bebas untuk membina kecemerlangan diri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Mohd Hilmi Ramli, berkata perbincangan mengenai AUKU lebih kepada isu yang mengikat pelajar daripada isu berkaitan politik.

"Akta yang terhad akan membantutkan minda pelajar untuk melahirkan pendapat dan berhujah sedangkan ini adalah sebahagian kemahiran ini yang perlu dijana dalam diri seorang pelajar cemerlang," katanya.

Saranan PKIM kaji semula pakaian sekolah agak simplistik - Jim

Jamaah Islah Malaysia (JIM) menyifatkan saranan supaya kerajaan menilai semula baju kurung sekolah berwarna putih sebenarnya agak simplistik dan kurang efektif serta praktikal untuk menangani permasalahan sosial yang semakin meruncing.

Perkara itu ditegaskan Ketua Wanita Pusat JIM Prof. Madya Dr Harlina Halizah Siraj dalam sidang medianya di ibu pejabat JIM, Taman Melawati semalam.

Merujuk saranan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKIM) itu, Harlina berharap cadangan itu tidak menggambarkan tanggapan bahawa wanita adalah semata-mata objek seksual dan bertanggung jawab sepenuhnya menjaga moral masyarakat.

Bagaimanapun, tegas beliau, golongan pelajar perempuan yang didapati berpakaian secara kurang sopan mestilah dididik dan dinasihati ibu bapa, golongan dewasa serta guru melalui pendekatan berhemah dan efektif.

"Agar remaja ini menyedari akan tanggung jawab mereka menghormati tubuh badan sendiri di samping bijak membuat pilihan yang baik untuk kepentingan diri dan kebaikan orang lain," katanya.

Beliau menegaskan, proses pendidikan itu haruslah merangkumi pelajar lelaki yang perlu didedahkan kepada sikap tanggung jawab yang tinggi seperti saling hormat menghormati dalam hubungan silang jantina.

Tegasnya, kawalan yang lebih efektif mestilah dikenakan terhadap unsur-unsur lucah yang dipaparkan dalam media elektronik, media cetak dan internet yang sememangnya mempunyai kesan negatif terhadap minda muda remaja.

"Kita tidak mahu kenyataan yang dikeluarkan hanya membabitkan perempuan sahaja, kerana kita tahu unsur-unsur lucah dari media cetak dan elektronik memberi impak kepada golongan muda termasuk lelaki," katanya.

Dalam pada itu, JIM turut merakamkan rasa bimbang terhadap penglibatan remaja lelaki dan perempuan di Malaysia dengan gaya hidup hedonisme yang keterlaluan menyembah kewangan, keseronokan, pergaulan bebas, tingkah laku seksual tanpa batas dan ketagihan arak dan dadah.

Justeru katanya, pemerintah harus memberi keutamaan kepada penyelesaian terhadap keruntuhan moral dan akhlak remaja hari ini yang berpunca dari hakisan pegangan hidup beragama dan kemerosotan nilai moral.

"Ingatlah pepatah Melayu 'Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara', janganlah hendaknya Malaysia 'runtuh' disebabkan golongan muda yang tidak mampu menjadi harapan dan tiang seri bagi pembangunan pada masa hadapan," katanya

Tuesday, May 27, 2008

Pelajar wajib sertai pasukan beruniform

Kementerian Pelajaran berhasrat mewajibkan semua pelajar menyertai pasukan badan beruniform di sekolah kerana ia boleh mendidik mereka lebih berdisiplin serta menjadi pemimpin atau pengikut yang baik pada masa depan.

Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir, berkata apabila semua pelajar menjadi ahli badan beruniform, mereka akan dibentuk melalui latihan kawad dan ujian kecergasan selain ada kenaikan pangkat dan anugerah bintang yang perlu direbut sekali gus mewujudkan persaingan sihat sesama mereka.

Katanya, pendedahan dan latihan itu membimbing pelajar menjadi pemimpin atau pengikut berdisiplin, yang boleh diserapkan dalam budaya hidup seharian sekali gus menjadi lebih fokus terhadap aktiviti di sekolah dan tidak membuang masa di luar waktu persekolahan.

Tanpa menyatakan bila cadangan itu akan dikuatkuasakan, beliau berkata, cadangan itu juga harus dipatuhi pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan berikutan keputusan kerajaan menyediakan uniform percuma kepada mereka, mulai tahun ini.

"Sebelum ini, pelajar susah sikit untuk menyertai pasukan beruniform kerana masalah pakaian. Sekarang sudah ada peruntukan, oleh itu, tiada alasan lagi untuk mereka tidak menyertainya," katanya selepas mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Perak, di sini, semalam.

"Justeru, sekolah juga perlu menyediakan unit beruniform yang mencukupi untuk disertai murid mereka," katanya.

Uniform Sekolah Seksi???

PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada cadangan awal untuk menilai pakaian pelajar perempuan di sekolah yang perlu dinilai semula.

Masyarakat perlu mengetahui dan melihat bahawa cadangan ini dibuat hanya kepada pelajar perempuan Islam sahaja. Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini adalah berteraskan kepada lima asas yang utama.

Pertamanya, isu ini bukan mahu menyalahkan pelajar perempuan, akan tetapi ia sebagai salah satu kaedah pencegahan (sad zarai?ik) di dalam Islam supaya pelajar perempuan tidak terdedah kepada ancaman luar dan masalah sosial akibat daripada pemakaian yang terlalu jarang.
Langkah pencegahan ini sangat penting supaya mereka bebas daripada ancaman persekitaran mereka.

Keduanya, cadangan penukaran pakaian berwarna ini ditujukan kepada pelajar Islam, supaya cara pemakaian pelajar Islam selarii dengan Syariah dan tuntutan Islam itu sendiri.
Dalam Islam, baju kurung sahaja tidak lengkap jika masih menayangkan tubuh badan. Pemakaian baju kurung kepada pelajar bukan Islam bukanlah satu paksaan kepada mereka, akan tetapi mereka yang berminat memakai baju kurung berwarna sangat digalakkan.
Asas yang ketiga ialah, ramai guru turut mengeluh sebenarnya kerana pemakaian pelajar perempuan yang terlalu jarang menyebabkan tumpuan guru terganggu. Ini akan menyebabkan keadaan yang tidak selesa kepada guru-guru tersebut.

Keempat, peranan ibu bapa sangat penting dalam urusan persekolahan pelajar di mana ibu bapa juga berperanan memilih pemakaian yang sesuai untuk anak-anak mereka.
Asas yang terakhir ialah PKPIM tidak menuduh persepsi lelaki Malaysia semua sebagai mata keranjang akan tetapi secara fitrahnya mata lelaki akan mudah teransang dengan pemakaian yang seksi atau yang tidak menutup aurat. Apatah lagi yang melihatnya nanti guru- guru yang bertanggungjawab mendidik mereka.

PKPIM berpandangan bahawa pakaian awam ini merupakan salah satu faktor daripada banyak faktor-faktor lain yang menyumbang kepada jenayah seksual.
Tidak semua mereka yang berpakaian tidak menutup aurat atau terdedah itu semestinya menjadi mangsa, akan tetapi merupakan salah satu daripada faktor menyumbang kepada masalah gangguan seksual.

Selain itu juga, pakaian yang terdedah itu turut menimbulkan rangsangan kepada lelaki-lelaki di persekitarannya.

Sebenarnya, penjenayah itu dapat melihat dan teransang daripada orang yang tidak memakai tudung berbanding mereka yang bertudung atau menutup aurat. PKPIM juga tidak menafikan bahawa mangsa jenayah seksual ada terdiri daripada mereka yang bertudung dan menutup aurat, di mana penjenayah tidak mengenal mangsanya.

Tetapi hakikatnya, penjenayah seksual ini telah didedahkan dengan faktor-faktor seperti imej lucah, imej tidak menutup aurat di media, internet, vcd lucah dan sebagainya.
PKPIM bertegas bahawa imej-imej lucah, pendedahan aurat, etika berpakaian ini merupakan antara salah satu faktor menyumbang kepada masalah ini.

PKPIM mengharapkan Kementerian Pelajaran dapat mempertimbangkan cadangan ini dan dinilai kembali kerana ia sangat penting kepada semua. Semoga usaha ini mendapat sokongan daripada pihak luar.


Munirah bt Bahari
Naib Presiden HEWI, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Saturday, May 17, 2008

Selamat Datang ke Blog Gabungan Bekas Pelajar Meheliah (GABPEM)

Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat ilahi dapat saya moncoretkan sedikit warkah untuk kawan2 dlm alumni. Bukan niat untuk berlagak tapi sedikit perkongsian pendapat daripada saya yang lemah ini. semoga ianya menjadi titik mula untuk kita lebih memahami antara satu sama lain. Sahabat sekalian, hidup sebagai manusia penuh dengan pelbagai dugaan. Ianya antara tuntutan hidup dalam perjalanan menuju ke destinasi insan yang kamil di dunia dan di akhirat. Setiap insan yang kamil mempunyai pegangan yang kukuh sebagai panduan iaitu al-quran dan as-sunnah yang juga sumber ilmu yang benar.

Selain itu, akhlak juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk pelajar intelek. Memang tidak dinafikan unsur2 yang menjadi pemacu ke arah keruntuhan akhlak hadir secara halus dan sukar di kesan puncanya. Justeru itu, kita sebagai pelajar agama haruslah menyiapkan diri sebaiknya bagi menghadapi fenomena yang semakin parah ini. Kesempatan kita mempelajari agama haruslah digunakan seeloknya untuk kita membina masa depan yang gemilang di samping berusaha mengembalikan ketuanan Islam di muka bumi ini.

Sahabat sekalian, di samping kita berjuang menuntut ilmu ataupun yang dah bekerja, kita mesti ingat meneruskan ikatan silaturahim antara kita juga dituntut dalam agama. Atas dasar inilah saya mengambil inisiatif menjadikan laman “friendster” sebagai platform untuk kita menghubungkan silaturahim yang sudah terputus dan mengeratkan ukhwah yang sedia terjalin sesama kita. Adalah diharapkan kita dapat memanfaatkannya semaksimum mungkin untuk mewujudkan kesinambungan interaksi antara sesama bekas pelajar khasnya dan pihak sekolah umumnya. Di samping itu, blog ini juga dapat memainkan peranan ke arah mengeratkan lagi ukhwah sesama kita. Sebarang komen dan cadangan atau pun ada yang berminat untuk menulis sesuatu dalam blog ini sila hantarkan ke
gabpem@yahoo.com ataupun smumeheliah@yahoo.com.

Akhir kalam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pelajar tingkatan 5 2007 yang Berjaya melanjutkan pengajian di IPT. Tidak dilupakan juga kepada orgnisasi GABPEM yang akan menganjurkan program Kem Pembinaan Sahsiah Terpuji (PESAT '08). Sesungguhnya usaha dan pengorbanan ini hanya Allah yang membalasnya. Amin

“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”

Sunday, March 30, 2008

join us!!!!

sesapa yang rasa diri dia daripada meheliah plz... join us... k 10q :-)