JULAI menyaksikan universiti awam kembali meriah apabila pelajar baru mula mendaftar. Keterujaan dan kegirangan tergambar pada wajah mereka yang menyemarakkan kolej kediaman, dewan kuliah dan padang rekreasi, bertemu dan berinteraksi dengan akademia, pelajar senior dan teman baru.
Seperti kesabaran pelajar baru yang berbaris untuk mendaftar, pelajar senior menganggotai jawatankuasa orientasi juga sentiasa bersedia memberi bimbingan. Yang lebih bernasib baik, memperoleh tawaran program yang sememangnya menjadi pilihan (kadangkala pilihan ibu bapa), manakala yang lain berpuas hati dengan program pilihan kedua atau ketiga.
Di kebanyakan universiti, ada pelajar ditawarkan program yang sebenarnya bukan pilihan utama. Berdepan dengan situasi sedemikian, fakulti harus berasa tercabar untuk memotivasikan pelajar seperti ini supaya minat mereka yang mendalam terhadap kursus yang sedang diikutinya dapat dipupuk.
Kemasukan pelajar sudah pun bermula dan tentunya harapan tinggi diletakkan kepada mereka. Mereka adalah kelompok kecil terpilih, memiliki keupayaan akademik dan kepintaran. Kaedah pemilihan digunakan memastikan mereka adalah golongan yang mampu mencerap fakta dan ilmu pengetahuan baru.
Namun, kehidupan di universiti bukan sekadar menjana ilmu pengetahuan dan memperoleh beberapa kemahiran praktis. Malah, ia merangkumi proses pembangunan diri, pembinaan keupayaan untuk berkomunikasi dengan orang lain serta kebolehan meramal, mencipta, membentuk dan menyesuaikan diri dengan perubahan.
Justeru, kebijaksanaan dan kematangan harus terbina untuk menserasikannya dengan nilai dan budaya masyarakatnya.
Kita sedang berdepan tuntutan masyarakat bahawa pembentukan generasi siswazah yang sedemikian adalah tanggungjawab universiti. Ia juga seolah-olah sudah menjadi kontrak sosial antara universiti dengan masyarakat yang berlangsung secara berterusan.
Tuntutan dan harapan masyarakat sudah semakin bertambah dan lebih mendesak lagi dalam era globalisasi ini. Kepantasan jaringan internet menyaksikan maklumat dan ilmu pengetahuan berada di hujung jari dengan hanya satu petikan.
Tiada siapa dapat menjangkakan, apakah nanti ilmu pengetahuan dan maklumat itu akan menyuburkan atau memusnahkan kekayaan, keselamatan negara, kestabilan politik, alam sekitar, keadilan dan kesejahteraan kehidupan sosial kita.
Keruntuhan Syarikat Enron Corporation pada akhir 2001 misalnya, memperlihatkan pentingnya golongan profesional peka dan cekap mengenal pasti dan menilai ancaman terhadap kebebasan iktisas atau organisasi mereka.
Keadaan ini juga amat bergantung kepada tahap penghayatan serta keakuran organisasi terhadap piawaian profesional tertinggi berasaskan bukan sekadar peraturan, malah menjangkau prinsip etika.
Dalam memperkasakan pelajar dengan ilmu pengetahuan terkini atau kemahiran menjana ilmu terbabit, universiti berkewajipan memimpin pelajar mengaplikasi ilmu pengetahuan untuk kesejahteraan awam dan merumuskan sesuatu keputusan berasaskan kematangan, kebijaksanaan serta prinsip nilai dan etika.
Kebijaksanaan dikatakan matang bersama peningkatan usia. Bagaimanapun, kita tidak mampu menantikan peningkatan usia untuk melihat kematangan dan kebijaksanaan itu kerana siswazah kita diharapkan mampu mempamerkan kematangan serta kebijaksanaan sejurus lulus dari universiti. Bagaimanakah universiti dapat membantu pelajarnya beranjak daripada alam persekolahan yang teracu kepada kehidupan penuh pertanggungjawaban terhadap pembelajaran kendiri?
Bagaimanakah mereka harus dibantu untuk belajar sendiri, memiliki kebebasan berfikir, berkreatif dalam melahirkan pemikiran baru, berhujah dan menzahirkan idea dan memaparkan kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan serta bertindak berdasarkan prinsip etika sejurus mereka menamatkan pengajiannya?
Seandainya nilai kebijaksanaan dan kematangan adalah perjuangan universiti, ini sewajarnya tergambar pada falsafah pendidikan dan matlamatnya. Ini juga harus diterjemahkan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti juga strategi penilaian terhadap pencapaiannya.
Seluruh pihak yang mempunyai kepentingan terhadap universiti - akademia, pentadbir, staf sokongan serta pelajar prasiswazah dan siswazahnya perlu memahami seluruh aspirasi universiti serta beriltizam terhadap usaha mencapainya.
Zaman kita harapkan pelajar menjejak kaki ke universiti sudah cukup dewasa dan berkeupayaan menyerap nilai dan pelbagai kebolehan sewaktu mereka mengikuti kursus yang diambil, mungkin sudah berlalu. Barangkali, pada masa itu, sistem elitis memilih pelajar yang melanjutkan pengajian ke universiti mempunyai profesor selaku mentor yang dapat menyemai dan menerap nilai ini dengan lebih daripada generasi ke generasi pelajar dan sarjana.
Dengan pendemokrasian pendidikan tinggi, peluang terbuka luas. Justeru, universiti perlu berusaha gigih untuk membina kematangan dan kebijaksanaan pelajarnya. Dengan kebanjiran pelajar di universiti, akan menyebabkan berlaku jurang perhubungan antara guru dan pelajarnya yang sebegitu ramai.
Kurikulum pula tidak harus terisi dengan kandungan disiplin pengajian semata-mata kerana kematangan dan kebijaksanaan tidak berupaya dipupuk dengan hanya penyaluran fakta akademik. Kandungan kurikulum pengajian, seharusnya turut diperlengkapkan secara bersepadu antaranya dengan etika, logik, budaya, politik dan falsafah.
Semua harus diintegrasikan sebagai suatu asas kukuh yang merangkumi persoalan dan renungan pengalaman hidup, yang terjana daripada interaksi sosial dalam dan di luar kampus, termasuk pengalaman di kolej kediaman dan padang sukan atau aktiviti kokurikulum lain.
Penyelesaian masalah, pembelajaran daripada pengalaman, bimbingan, membuat keputusan berasaskan fakta dan imaginasi kreatif adalah beberapa pendekatan merangsang olahan pemikiran yang akan memandu kepada kejelasan serta usaha ke arah pemahaman mendalam terhadap sesuatu.
Pendekatan ini juga akan melebarkan horizon perspektif pelajar yang sudah melalui pelbagai pengalaman, di samping membina keupayaan untuk mencari jawapan terhadap segala persoalan kehidupan.
Pemerolehan jawapan dan penjanaan idea menerusi kaedah berkenaan akan mengembangkan kreativiti dan kematangan. Pelajar akan belajar dengan halus bagaimana mengimbangkan risiko dalam pemanfaatan idea khususnya dengan kesedaran bagaimana dan bila mengaplikasikannya dalam situasi tertentu dan menyedari apabila mereka tidak memiliki keupayaan untuk menyelesaikan permasalahan, pada waktu itulah kebijaksanaan dan kematangan orang lain diperlukan.
Justeru, kebijaksanaan dan kematangan sedemikian hanya terbentuk menerusi pendekatan manusiawi, ketulusan dan kesabaran. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran itu mestilah bermula pada hari pertama kehidupan di universiti.
Proses ini harus berlaku berterusan dan diperkukuhkan sehingga mereka lulus dari universiti. Matlamat yang ingin dicapai adalah untuk memastikan siswazah ini dibekalkan dengan keupayaan untuk melakukan refleksi diri dan penerokaan mencari kebenaran serta menyediakan jawapan terhadap persoalan masa depan.
Penyuburan kematangan dan kebijaksanaan kepada pelajar ibarat menanam sepohon buluh Cina. Pada empat tahun pertama, pertumbuhannya agak perlahan meskipun disirami serta dibajai dengan teratur.
Namun, pada tahun kelima, dengan penyiraman dan pembajaan berterusan, pohon buluh itu akan melonjak kepada ketinggian sembilan puluh kaki dalam tempoh lima minggu saja. Persoalannya ialah, 'adakah pohon buluh China membesar menjadi sembilan puluh kaki tingginya dalam tempoh lima minggu atau lima tahun?
Jawapannya tentulah lima tahun. Seandainya dalam tempoh itu proses penyiraman dan pembajaannya terhenti seketika, pastinya pohon itu akan mati.
Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Thursday, June 12, 2008
Sunday, June 8, 2008
Pinjaman PTPTN Haram???
Majlis Fatwa Kebangsaan mengarahkan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) mengubah kaedah pengiraan caj perkhidmatan tiga peratus dikenakan kepada peminjamnya mengikut garis panduan ditetapkan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata keputusan berhubung perkara itu ditetapkan pada mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang diadakan di Alor Star, Kedah, baru-baru ini.
“Berdasarkan keputusan itu, kami menemui PTPTN dan menerangkan langkah perlu diambil untuk memastikan kaedah pengiraan dilaksanakan selaras garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana kami mahu membantu PTPTN menyelesaikan kekaburan berhubung isu itu.
“Berikutan itu, pemantauan dari semasa ke semasa akan dilakukan terutama menerusi pembentangan PTPTN berhubung perubahan kaedah itu untuk memastikan mereka setuju dan mematuhi garis panduan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa sama ada caj perkhidmatan tiga peratus dikenakan kepada peminjam PTPTN ada berunsur riba atau tidak.
Isu itu timbul apabila peminjam mempersoalkan ketelusan pengiraan sebenar kos perkhidmatan PTPTN kerana ia tidak dinyatakan secara terperinci.
Bagaimanapun, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang dikeluarkan pada 11 Mac 2002 menggariskan, mengikut kaedah syariah, PTPTN boleh menggunakan kos perkhidmatan mengikut perkiraan sebenar terhadap pinjaman diberikan.
Berdasarkan keputusan itu, kos PTPTN berkenaan perlu mengikut perkiraan sebenar terhadap pinjaman diberikan kepada pelajar, bukannya dengan anggaran peratusan seperti amalan sekarang.
Malah, resolusi Majlis Syariah Organisasi Perakaunan dan Audit bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) dan Majlis Fiqh Sedunia di bawah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menyatakan, caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal saja, manakala caj yang dikenakan melebihi kos sebenar adalah haram.
Ditanya status caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN, sama ada ia dikategorikan sebagai riba dan haram, Wan Mohamad berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan mengutamakan usaha untuk memperbaiki kaedah pengiraannya bagi mengatasi kekeliruan orang ramai.
“Apa yang berlaku kepada PTPTN harus menjadi iktibar dan sepatutnya sebarang usaha untuk memperkenalkan skim yang membabitkan soal kewangan perlu mendapat pandangan institusi fatwa bagi mengelak kekeliruan.

Subscribe to:
Posts (Atom)